OKTOBER 2025

Sarawak Bangunkan Hutan Simpan Sabal Sebagai Hab Ekopelancongan Bertaraf Dunia – RM60 Juta Diluluskan


SIMUNJAN, 18 Oktober 2025 – Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi membangunkan Hutan Simpan Sabal di Simunjan sebagai hab ekopelancongan dan pusat terapi semula jadi bertaraf dunia yang pertama seumpamanya di negeri ini. Usaha itu selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan ekonomi hijau yang berteraskan kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, inisiatif pembangunan Hutan Simpan Sabal itu akan menempatkan pelbagai kemudahan mesra alam seperti pusat penyelidikan saintifik, laluan pendidikan alam sekitar, fasiliti rekreasi keluarga, kawasan riadah serta pusat pemulihan dan ketenangan (healing & RnR) yang menghubungkan manusia dengan alam semula jadi.

Menurut beliau, pembangunan ini adalah sebahagian daripada pelan strategik negeri di bawah Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan biodiversiti. Kerajaan mensasarkan agar Hutan Simpan Sabal menjadi antara destinasi ekopelancongan paling berdaya saing di rantau ini.

“Saya meluluskan peruntukan RM60 juta ini kerana melihat potensi besar Hutan Simpan Sabal untuk menjadi pusat rekreasi utama rakyat. Orang Kuching kadang-kadang mahu keluar dari rutin harian dan mencari tempat beriadah bersama keluarga. Justeru, pembangunan ini akan membuka ruang rekreasi baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat memandangkan lokasinya yang strategik antara Kuching dan Sri Aman,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Hutan Simpan Sabal Sebagai Hab Eko-Pelancongan dan Hari Terbuka Sabal 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

Tambah beliau, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028 dan akan menjadi tarikan pelancongan baharu di Sarawak yang bukan sahaja memacu ekonomi setempat, malah memberi peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar.

Premier Sarawak turut menegaskan bahawa Hutan Simpan Sabal kini mempunyai dua peranan penting iaitu sebagai kawasan riadah dan tapak rujukan ekologi (carbon sink). Katanya, hutan tersebut bukan sahaja memastikan kelestarian tanah dan biodiversiti negeri dikekalkan, malah menjadi penyumbang kepada keseimbangan karbon global. 

Majlis perasmian itu turut menyaksikan penyampaian Sijil Malaysia Book of Records serta Anugerah Hijau kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik yang menyokong inisiatif penghijauan negeri melalui usaha berterusan memulihara alam semula jadi.

Dalam ucapannya juga, Premier Sarawak menyatakan bahawa Hutan Simpan Sabal berpotensi diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan karavan, khususnya bagi menarik pelancong yang gemar aktiviti luar.  Konsep pelancongan seperti ini, jelasnya, telah lama popular di negara-negara Barat. 

Beliau menambah bahawa kawasan Hutan Simpan Sabal mempunyai kelebihan semula jadi yang unik kerana menawarkan panorama hutan asli, udara segar, persekitaran hijau yang menenangkan serta suasana terapeutik yang sesuai untuk rawatan pemulihan kendiri dan pengembalian keseimbangan minda.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura bagi melaksanakan program pertukaran pelajar sekolah rendah dan menengah antara Sarawak dan Singapura. 

“Program ini bertujuan memberikan peluang kepada pelajar luar negara tentang pendidikan alam sekitar serta kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui pengalaman di Hutan Simpan Sabal. Keselamatan serta kemudahan asas pelajar akan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program tersebut,” ujar Premier.